Keluar sahaja dari hospital, pasti kita akan ditanya dengan soalan-soalan tentang nama anak tidak kira melalu telefon, whatsapp, dan sebagainya.
“Apa nama anak awak…?”, “Takde nama lagi ke…??”
Bila dah beritahu, ada sahaja yang meluahkan rasa tidak sesuai dengan bayi tersebut.
“Nama anak macam nama perempuan je…” (bila mana bayi tersebut adalah bayi lelaki, dan begitu juga sebaliknya).
Begitulah rutin dan sifat manusia itu sendiri yang tidak pernah merasa cukup dan berpuas hati. Namun, sebagai ibu bapa, ianya bukanlah perkara yang penting untuk difikirkan sangat, melainkan apa yang perlu difikirkan adalah memberi nama yang terbaik untuk anak tersebut. Nama yang penuh dengan makna-makna yang baik, memberi inspirasi kepada yang mendengarnya, dan melambangkan identiti sebagai seorang Muslim yang sejati. NAMA adalah sebuah identiti dan permulaan kepada kehidupan si anak.
Meletakkan dan mengisytiharkan nama bayi adalah antara detik yang paling menggembirakan ibu bapa. Nama bayi boleh diberikan pada hari pertama sepertimana nabi sallallahu ‘alaihi wasallam memberikan nama anak lelakinya pada hari pertama kelahiran seperti di dalam riwayat Muslim. Nama bayi juga boleh diberikan pada hari yang ke-7 seperti yang nabi sallallahu ‘alaihi wasallam lakukan terhadap cucunya, Hassan dan Husein. Pendapat yang paling kuat selepas perbandingan beberapa hadis berkenaan bab ini mengatakan bahawa penamaan pada hari ke-7 adalah lebih baik.
Nama anak hendaklah mempunyai makna yang baik. Jangan terlalu mengikut ‘trend’ semasa yang banyak terikut-ikut dengan nama-nama yang agak janggal dan tidak mempunyai sebarang makna yang baik dan membanggakan. Ingatlah bahawa nama yang akan diberikan itu nanti akan menjadi identiti si anak sehingga ke hujung nyawanya. Anggaplah nama baik yang diberikan akan menjadi satu doa untuknya supaya menjadi insan yang diharapkan seperti nama yang diberikan.
Terdapat beberapa nama yang dilarang oleh baginda sallallahu ‘alaihi wasallam, antaranya menamakan anak dengan nama-nama Allah tanpa menambah perkataan ‘Abd’ (hamba) dihadapan nama tersebut, seperti contoh ‘Rahman’ tanpa tambahan ‘Abd’ dan sebagainya. Ini kerana nama-nama Allah hanya layak untuk-Nya, dan kita hanyalah hambanya yang kerdil yang memerlukan kepada Sang Penciptanya.
Kesimpulannya, ingatlah bahawasanya nabi sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Sesungguhnya kalian akan diseru pada hari kiamat nanti dengan nama kamu dan bapa-bapa kamu, maka berilah nama-nama yang baik dan elok”.
Daftar Aqiqah bersama Aqiqah4u.my dengan harga bermula serendah RM390, buat pilihan pakej di https://aqiqah4u.my/pakej-aqiqah