Setiap ibu bapa samada yang baru berkahwin mahupun yang telah lama berkahwin, pastinya akan merasa gembira dengan kelahiran bayi baru. Bagi sang ibu, kesabaran yang dilalui selama 9 bulan untuk menunggu sehingga bayi dilahirkan adalah detik-detik yang sangat mengujakan. Kegembiraan dan kesyukuran atas kurniaan Allah ini hendaklah dizahirkan dengan melaksanakan setiap tuntutan-Nya dari saat awal kelahiran lagi.
Banyak sunnah-sunnah yang diajarkan oleh Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam kepada kita berkenaan menyambut kelahiran baru seperti mencukur rambut bayi, memberi nama dan melaksanakan ibadah Aqiqah pada hari ke-7 kelahiran. Aqiqah adalah satu ibadah penyembelihan kambing pada hari ke-7 kelahiran sebagai waktu terbaik yang diajarkan oleh baginda sallallahu ‘alaihi wasallam untuk menzahirkan rasa syukur kita kepada Allah subhanahu wa Ta’ala. Sekiranya tidak mampu dan tidak berkesempatan untuk melakukannya pada hari ke-7, maka ianya boleh dilaksanakan pada hari ke 14 dan hari ke 21. Adapun mereka yang telah melepasi senarai hari-hari terbaik ini untuk perlaksanaan aqiqah, maka mereka boleh melakukannya pada bila-bila masa sahaja sebelum anak tersebut mencapai umur akil baligh.
Hukum aqiqah adalah sunat yang dituntut di dalam Islam. Ibu bapa yang tidak melakukannya umpama berhutang dengan sang Pencipta kerana bayi tersebut disebutkan di dalam hadis sebagai satu gadaian seperti mana yang disebutkan dalam hadis riwayat Abu Daud dan Tirmizi: “Setiap anak tergadai dengan aqiqahnya, disembelih untuknya pada hari ke-7, dicukur rambutnya, dan diberi nama.” Imam ibn al-Athir berkata bahawa makna hadis tersebut adalah kedua orang tuanya diharamkan dari syafaat anaknya sehinggalah ibadah aqiqah anak tersebut disempurnakan. Sebahagian ulama pula mengatakan bahawa maksud hadis tersebut adalah setiap amalan anak tersebut tidak akan sampai kepada ayahnya, sehinggalah aqiqahnya disempurnakan.
Menurut ahli hadis, aqiqah hanyalah menyembelih kambing sahaja, berbeza dengan pandangan sebahagian ulama feqah bahawa mereka menyamakan ibadah aqiqah dengan ibadah qurban. Ianya memberi tafsiran menurut pandangan ulama feqah ini bahawa aqiqah juga boleh disempurnakan dengan menyembelih lembu dan unta. Secara kesimpulannya, apa yang terbaik dan jelas di dalam hadis adalah 1 ekor kambing untuk seorang anak perempuan dan 2 ekor kambing untuk seorang anak lelaki.
Daftar Aqiqah bersama Aqiqah4u.my dengan harga bermula serendah RM390, buat pilihan pakej di https://aqiqah4u.my/pakej-aqiqah