Perspektif Islam: Ihsan dan Etika
Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah telah mewajibkan berbuat baik terhadap segala sesuatu. Jika kamu membunuh, bunuhlah dengan cara yang baik. Jika kamu menyembelih, sembelihlah dengan cara yang baik. Hendaklah salah seorang di antara kamu menajamkan pisaunya dan menyenangkan haiwan sembelihannya.”
(Hadis Riwayat Muslim)
Hadis ini menunjukkan betapa pentingnya untuk menyembelih binatang dengan cara yang paling baik dan mengurangkan penderitaan mereka, perlu diingatkan bahawa binatang juga mempunyai emosi, cuma tidak berakal seperti manusia, menyembelih binatang di hadapan binatang lain boleh menyebabkan stress dan ketakutan yang berlebihan kepada binatang yang menunggu giliran, yang bertentangan dengan prinsip berbuat baik seperti yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW.
Para ulama sepakat bahawa adalah lebih baik untuk menyembelih binatang qurban di tempat yang tidak dapat dilihat oleh binatang lain yang menunggu. Ini kerana, dari segi akhlak dan kebajikan, adalah penting untuk mengelakkan sebarang bentuk penyeksaan atau penderitaan kepada binatang.
“Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih), dan darah (yang keluar mengalir), dan daging babi (termasuk semuanya), dan binatang-binatang yang disembelih kerana yang lain dari Allah, dan yang mati tercekik, dan yang mati dipukul, dan yang mati jatuh dari tempat yang tinggi, dan yang mati ditanduk, dan yang mati dimakan binatang buas, kecuali yang sempat kamu sembelih (sebelum habis nyawanya), dan yang disembelih atas nama berhala.”
(Surah al-Maidah: 3)
Ayat ini menegaskan kepentingan menyembelih binatang dengan cara yang betul dan beretika, serta mengelakkan penyeksaan terhadap haiwan.
Perspektif Saintifik: Kesan Stress Terhadap Binatang Qurban
Stress pada binatang yang menunggu giliran untuk disembelih boleh membawa kepada beberapa kesan negatif, termasuk:
1. Stress Menyebabkan Peningkatan Lactic Acid
Apabila binatang mengalami stress, badan mereka akan menghasilkan lebih banyak asid laktik. Asid laktik yang berlebihan boleh menyebabkan daging menjadi berasid, yang seterusnya mempengaruhi rasa daging. Daging yang berasid akan mempunyai rasa masam dan tidak enak.
2. Fahami Rigor Mortis
Rigor mortis adalah keadaan di mana otot-otot binatang menjadi tegang dan keras selepas kematian. Jika binatang mengalami stress sebelum disembelih, proses rigor mortis akan menjadi lebih cepat dan daging akan menjadi lebih keras dan kurang berkualiti.
3. Daging Berasid dan Mutu Daging
Stress menghasilkan asid laktik yang menyebabkan daging menjadi berasid. Ini bukan sahaja menjejaskan rasa daging tetapi juga mengurangkan kualiti dan kesegarannya. Daging yang berkualiti rendah akan memberi kesan kepada penerima qurban dan menjejaskan keberkatan ibadah qurban itu sendiri.
Sifat Ihsan dalam Qurban
1. Menghadapkan Haiwan Sembelihan ke Arah Kiblat
Disunnahkan agar haiwan dihadapkan ke arah kiblat ketika menyembelihnya sebagaimana amalan Rasulullah SAW. Nafi’ (maula Ibnu ‘Umar) mengatakan:
“Bahawasanya Ibnu ‘Umar tidak suka makan daging haiwan yang tidak menghadap kiblat ketika disembelih.”
(Mushannaf ‘Abdurrazzaq, 4/489, no. 8585)
2. Sunnah Rasulullah SAW tentang Penyembelihan
Rasulullah SAW bersabda,
“Asahlah pisau ini dengan batu (pengasah).” ‘Aisyah pun melakukan apa yang diperintahkan beliau. Setelah diasah, beliau mengambilnya dan mengambil kibas tersebut lalu membaringkannya dan menyembelihnya…”
(Hadis Riwayat Muslim).
Hadis ini menjelaskan anjuran merebahkan haiwan yang hendak disembelih (dari jenis kambing), dan ia tidak disembelih dalam keadaan berdiri atau duduk. Ini kerana keadaan tersebut lebih mudah baginya dan ini adalah ijma’ (kesepakatan) umat Islam. Ia dilakukan dengan merebahkan haiwan di atas sisi kirinya di mana ia lebih memudahkan orang yang menyembelih sambil memegang pisau di tangan kanan dan memegang kepala haiwan dengan tangan kirinya.” (Subulus Salam, 4/162 – Maktabah at-Taufiqiyah).
Manakala bagi unta, ianya disembelih dalam keadaan berdiri di atas tiga kakinya dan kakinya yang kiri bahagian hadapan diikat dengan tali. Ia dilakukan dengan cara menusuk (an-nahr) di bahagian lehernya. (Shahih Fiqhus Sunnah, 2/364 – Maktabah at-Taufiqiyah).
Melaksanakan ibadah qurban adalah satu tanggungjawab yang besar dan perlu dilakukan dengan penuh berhati-hati serta mengikut syariat yang telah ditetapkan. Mengelakkan penyembelihan binatang qurban di hadapan binatang lain yang menunggu giliran bukan sahaja memenuhi tuntutan agama tetapi juga memastikan mutu dan kualiti daging qurban terpelihara. Semoga ibadah qurban kita diterima oleh Allah SWT dan membawa keberkatan kepada kita semua.
Marilah kita bersama-sama mempraktikkan adab yang baik dalam penyembelihan qurban demi menjaga kesejahteraan binatang qurban dan mencapai tujuan utama ibadah ini. Dengan mematuhi etika dan sunnah yang telah diajarkan oleh Rasulullah SAW, kita bukan sahaja melaksanakan perintah agama tetapi juga menunjukkan sifat ihsan yang dituntut dalam Islam. Semoga dengan ini, ibadah qurban kita diterima dan mendapat ganjaran yang berlipat kali ganda dari Allah SWT.